Wednesday 20 August 2014

Double Jeopardy

Double Jeopardy adalah konsep undang-undang yang diamalkan di Malaysia dan negara-negara yang lain. Jika diterjemahkan dalam bahasa melayu ianya membawa maksud 'bahaya dua kali' ataupun 'seseorang yang diletakkan dalam kesengsaraan berkali-kali'.

Di dalam undang-undang jenayah, 'double jeopardy' menerangkan bahawa seseorang itu tidak boleh dihukum untuk kesalahan jenayah yang sama lebih dari sekali. Selepas tertuduh itu didakwa di Mahkamah serta disabitkan dengan kesalahan dan dihukum penjara (atau denda atau sebagainya) ataupun dibebaskan oleh Mahkamah (dan tiada sebarang rayuan daripada pendakwa mahupun tertuduh itu sendiri) maka tamatlah atau terhentilah segala dakwaan mengenai jenayah itu di masa hadapan. Dengan erti kata lain, kes ditutup.

Konsep Double Jeopardy boleh dilihat dalam Seksyen 302 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) yang mengatakan bahawa 'orang yang pernah disabitkan atau dibebaskan tidak boleh dibicarakan di atas kesalahan yang sama" 

Juga termaktub di dalam Perkara 7 (2) Perlembagaan Persekutuan, "seseorang yang telah dibebaskan daripada sesuatu kesalahan atau disabitkan atas sesuatu kesalahan tidak boleh dibicarakan semula kerana kesalahan yang sama.."

Banyak soalan yang saya dapat dari pelajar-pelajar saya yang salah faham dengan konsep undang-undang ini. Ini kerana mereka menyangkakan sekiranya tertuduh melakukan kesalahan yang sama di masa hadapan maka tertuduh itu dilindungi di bawah konsep ini.

Tanggapan itu salah, tertuduh itu tidak boleh didakwa atas kesalahan yang telah dihukum atau diadili sahaja, tetapi sekiranya di masa hadapan tertuduh itu melakukan jenayah yang sama ataupun jenayah yang lain, tertuduh itu masih lagi boleh ditangkap dan didakwa. Malah hukuman akan menjadi lebih berat memandangkan tertuduh sudah mempunyai rekod jenayah lampau.

1 comment:

  1. Saya nak tanya.. bole terangkat lebih terperinci maksud disabitkan kesalahan yg sama itu? Adakah akta seksyen yg sama atau dari pendakwa yg sama? Seperti syarikat A mendakwa kakitangannya dibawah seksyen 420 dan 470 contohnya dah kakitangannya telah dihukum. Selepas hukuman tamat, sekali lagi kes yang sama tetapi berbeza seksyen tapi dari kes yang sama. Apakah wujud double jeopardy disini?

    ReplyDelete